Duaa.my

duaa.my
KembaliDoa Hari Arafah 2026 - Sahabat Duaa riyanarzl

Doa Hari Arafah 2026 - Sahabat Duaa riyanarzl

sumbangan komuniti

Koleksi 20 doa Hari Arafah 2026 daripada Sahabat Duaa riyanarzl.

Baca semua dari mula
Bermula dengan doa #01 · Doa Hari Arafah 2026 1
01

Doa Hari Arafah 2026 1

Ya Allah Ya Ghafur, pada hari Arafah yang mulia ini, aku datang kepada-Mu dengan hati yang penuh dosa dan kelemahan. Ampunkan segala kesalahanku yang disengajakan mahupun tidak, dosa yang tersembunyi mahupun yang nyata, dosa kerana lalai kepada-Mu, dosa kerana menyakiti hati ibu bapaku, keluarga, sahabat dan orang sekeliling.

02

Doa Hari Arafah 2026 2

Ya Allah, jangan biarkan dosaku menjadi penghalang doa-doaku daripada sampai kepada-Mu. Bersihkan hatiku daripada sifat riak, sombong, hasad dengki, buruk sangka dan cinta dunia yang berlebihan. Jadikan aku hamba yang sentiasa kembali kepada-Mu walaupun sering jatuh dalam dosa.

03

Doa Hari Arafah 2026 3

Ya Razzaq, limpahkanlah rezeki yang halal, luas, mudah dan berkat kepadaku. Murahkan rezekiku dari arah yang tidak aku sangka-sangka. Jika rezekiku di langit, turunkanlah. Jika di bumi, keluarkanlah. Jika jauh, dekatkanlah.

04

Doa Hari Arafah 2026 4

Jika sedikit, perbanyakkanlah. Jika tidak berkat, berkatkanlah. Ya Allah, jadikan hidupku cukup tanpa meminta-minta kepada manusia. Kurniakan aku rezeki yang mampu membahagiakan ibu bapaku, membantu keluargaku, bersedekah dan menolong orang lain.

05

Doa Hari Arafah 2026 5

Ya Allah, ampunkan dosa kedua ibu bapaku. Panjangkan umur mereka dalam kesihatan dan iman. Jika mereka sedang penat, gantikan dengan kekuatan. Jika mereka sedang bersedih, gantikan dengan ketenangan. Jika mereka pernah menangis kerana aku, ampunkanlah aku Ya Allah.

06

Doa Hari Arafah 2026 6

Jadikan aku anak yang mampu membalas jasa mereka walaupun tidak akan pernah setanding pengorbanan mereka. Jangan Engkau pisahkan kami sebelum sempat aku membahagiakan mereka sepenuhnya.

07

Doa Hari Arafah 2026 7

Ya Wadud, jika aku ditakdirkan bertemu jodoh, temukan aku dengan seseorang yang mencintai-Mu lebih daripada segala-galanya. Kurniakan aku pasangan yang lembut tutur katanya, baik akhlaknya, menjaga solatnya, menghormati ibu bapaku dan menerima segala kekuranganku dengan ikhlas.

08

Doa Hari Arafah 2026 8

Jadikan rumah tangga kami dipenuhi sakinah, mawaddah dan rahmah. Jauhkan aku daripada pasangan yang membawa aku jauh daripada agama-Mu.

09

Doa Hari Arafah 2026 9

Ya Allah, Engkau mengetahui segala luka yang aku sembunyikan daripada manusia. Engkau tahu berapa banyak malam yang aku lalui dengan air mata, berapa banyak kecewa yang aku pendam sendirian dan berapa banyak perkara yang aku cuba kuatkan walaupun hati sudah terlalu penat.

10

Doa Hari Arafah 2026 10

Ya Allah, sembuhkanlah hatiku. Gantikan segala kehilangan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika aku sedang menunggu sesuatu yang baik, dekatkanlah ia kepadaku dengan cara yang indah.

11

Doa Hari Arafah 2026 11

Ya Fattah Ya Alim, permudahkan segala urusanku pada masa hadapan. Permudahkan pelajaranku, pekerjaanku, cita-citaku dan segala impian yang baik untuk dunia dan akhiratku. Bukakan pintu kejayaan yang tidak membawa aku jauh daripada-Mu. Jika ada jalan yang tertutup, bukakanlah jalan lain yang lebih baik untukku.

12

Doa Hari Arafah 2026 12

Ya Salam, kurniakan aku hati yang tenang walaupun hidup tidak sempurna. Jangan biarkan aku terlalu memikirkan perkara yang menyakitkan hati. Ajarkan aku reda dengan takdir-Mu dan percaya bahawa segala yang berlaku mempunyai hikmah yang terbaik.

13

Doa Hari Arafah 2026 13

Ya Allah, jadikan aku insan yang lebih baik daripada semalam. Perbaikilah akhlakku, tutur kataku, ibadahku dan hubungan aku dengan manusia. Didik hatiku supaya tidak mudah membenci, tidak mudah putus asa dan sentiasa berharap kepada rahmat-Mu.

14

Doa Hari Arafah 2026 14

Ya Hafiz, lindungilah aku daripada manusia yang berpura-pura baik tetapi menyimpan niat buruk. Jauhkan aku daripada fitnah, pengkhianatan, cemburu manusia dan hati-hati yang tidak ikhlas terhadapku. Peliharalah aku daripada kata-kata yang menjatuhkan semangat dan hubungan yang menyakitkan.

15

Doa Hari Arafah 2026 15

Ya Syafi, sembuhkan segala penyakit dalam tubuh badanku, dalam fikiranku dan dalam hatiku. Kurniakan kesihatan yang baik agar aku mampu beribadah kepada-Mu, membantu keluargaku dan menjalani hidup dengan penuh syukur.

16

Doa Hari Arafah 2026 16

Ya Allah, aku memohon sebuah rumah yang dipenuhi keberkatan, pasangan yang menenangkan jiwa, anak-anak yang soleh dan rezeki yang sentiasa cukup. Jadikan rumahku tempat yang penuh kasih sayang, bukan tempat air mata dan pertelingkahan.

17

Doa Hari Arafah 2026 17

Ya Allah, jangan Engkau jadikan dunia ini sebesar-besar cita-citaku. Jadikan aku hamba yang merindui syurga-Mu. Selamatkan aku daripada azab kubur, azab neraka dan segala fitnah akhir zaman. Masukkan aku ke dalam syurga bersama ibu bapaku, pasanganku, anak-anakku dan orang-orang yang aku sayangi.

18

Doa Hari Arafah 2026 18

Ya Allah, jika aku pernah merasa dipinggirkan, tidak dihargai dan dilupakan manusia, cukupkan aku dengan kasih sayang-Mu. Ajarkan aku bahawa nilai diriku tidak bergantung pada penghargaan manusia tetapi pada pandangan-Mu terhadapku.

19

Doa Hari Arafah 2026 19

Ya Mujib, Engkau mengetahui segala hajat yang aku simpan dalam hati. Hajat yang aku sebut dalam doa, mahupun yang aku pendam dalam air mata. Jika perkara itu baik untuk agama, dunia dan akhiratku, maka makbulkanlah ia dengan penuh keberkatan dan pada waktu yang terbaik.

20

Doa Hari Arafah 2026 20

Ya Allah, jangan biarkan Hari Arafah ini berlalu tanpa keampunan daripada-Mu. Jangan biarkan aku pulang dengan tangan kosong. Kabulkan doa-doaku, lembutkan hatiku, bahagiakan hidupku dan tetapkan aku dalam iman hingga akhir hayatku. Amin Ya Rabbal Alamin.